Pemuda warga Filipina antara dua suspek curi 21 komputer riba 1Malaysia dari sekolah rendah

Kelihatan salah seorang suspek yang ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Brad Rantayy

MIRI, 22 Sept: Seorang warga Filipina antara dua lelaki ditahan polis semalam kerana disyaki terlibat mencuri 21 unit komputer riba 1Malaysia dari sebuah makmal sekolah rendah di Jalan Bintang di sini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata kedua-dua suspek ditangkap sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Miri di dua lokasi berasingan sekitar bandaraya Miri susulan laporan kehilangan komputer riba dibuat.


Difahamkan, salah seorang suspek merupakan kakitangan sekolah terbabit.

“Kehilangan 21 komputer riba jenis Lenevo itu disedari apabila salah seorang juruteknik sekolah tersebut melakukan pemeriksaan ke dalam makmal pada 17 September sekitar jam 8 pagi,” ujarnya.

Penahanan dua suspek berusia 30 dan 36 tahun itu membawa kepada penemuan tiga unit komputer riba dipercayai dicuri daripada makmal sekolah rendah tersebut.

Kerugian dianggarkan lebih RM20,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika disabit kesalahan. — DayakDaily