Pemuda maut, motosikal ditunggang terbabas

Keadaan di lokasi kemalangan.

Oleh Dean Adam

SIMUNJAN, April 6: Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Kepayang di sini, lewat petang semalam.

Mangsa, Paul Japok, 25, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda 115Z
sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Kepayang menuju Simpang Kepayang.

Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepalanya. Petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian mangsa,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Simunjan untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily