Oleh Brad Rantayy
MIRI, 25 Mac: Hasrat seorang lelaki warga tempatan menikmati dua botol arak yang dicurinya dari sebuah kedai di Jalan Hokkien petang Khamis tidak kesampaian, apabila dia ditahan pihak polis pada hari yang sama.
Suspek berusia 26 tahun itu, ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kurang dua jam selepas dimaklumkan kejadian.
Turut ditemui dari rumah suspek semasa tangkapan dua botol minuman keras yang disyaki telah dicuri dari premis terbabit.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan tangkapan tersebut.
Menurutnya, suspek ditahan sekitar jam 8 malam di sebuah rumah di Taman Delight di sini.
Terdahulu, pihak polis telah dimaklumkan mengenai kejadian oleh pemilik kedai tersebut.
Dalam kejadian, suspek telah masuk ke premis tersebut lalu mengambil dua botol minuman keras sebelum beredar.
Kejadian turut berjaya dirakan oleh kamera litar tertutup (CCTV) premis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. — DayakDaily