Inovasi JTS Sarawak bolot 4 emas PSIA MTE 2022

Pengumuman pemenang PSIA MTE 2022 secara maya.

KUCHING, Mac 25: Inovasi Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah membolot empat pingat emas bagi kategori Public Service Innovation Award (PSIA) pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2022.

Ibu pejabat JTS Sarawak berkata dalam satu kenyataan hari ini, presiden Malaysian Association of Creativity and Innovation (MACRI) merangkap Pengerusi Jawatankuasa PSIA Hussein Mohd Ariff telah mengumumkan pemenang secara maya melalui platform laman web rasmi MTE 2022 semalam (24 Mac).

Empat inovasi tersebut adalah ‘Survey Visual Indicator’ (SVI) oleh Innotech Q9 dari JTS Bintulu, ‘Earth Removal Management System’ (ERM) oleh Sassoku-Tech dari JTS Kuching, ‘Intelligence ALaRMS – Intelligence Application of Licence and Royalty Monitoring System’ oleh Lands Tahai Q hybrid Ta’rom dari JTS Limbang dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Limbang, serta ‘Title Application For Scheme’ (TASC) oleh Accurate dari JTS Mukah.

Projek SVI oleh Innotech Q9 dari JTS Bintulu juga telah diberikan pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas daripada International Federation of Inventor’s Association (IFIA) bagi tahun 2022.

Pencapaian kumpulan ini meneruskan kecemerlangan JTS apabila sebelum ini dua projek inovasi JTS iaitu projek Sarapeg oleh Millenium Sabe pada tahun 2019 dan projek Power4Fields – Portable Power Supply oleh Lands Tahai Q pada tahun 2020 turut menerima Anugerah Khas IFIA.

Tahun ini merupakan tahun keempat penyertaan JTS pada MTE sejak tahun 2019. Sejak penyertaan pertama JTS melalui inovasi Sarapeg, JTS sentiasa mempamerkan pencapaian yang cemerlang dan membanggakan dengan memenangi Pingat Emas serta menerima pengiktirafan anugerah khas dari pelbagai institusi inovasi dan kreativiti peringkat tempatan dan antarabangsa.

Antara kriteria yang dinilai bagi penentuan pencapaian ini adalah kepentingan dan signifikan projek, kreativiti inovasi yang dibangunkan, impak serta hasil projek kepada organisasi mahupun negeri.

Penganjuran MTE kali ke-21 ini dengan tema ‘Embracing the New Norm and Moving to New Frontiers’ merupakan tahun kedua ia diadakan secara maya.

Pameran inovasi yang menyertai MTE 2022 telah berlangsung pada 21 hingga 25 Mac 2022 melalui laman web MTE 2022.

Sebanyak 39 projek inovasi dari 20 agensi awam telah menyertai PSIA MTE 2022. Daripada jumlah tersebut, 13 inovasi telah dianugerahkan emas yang mana empat daripadanya adalah inovasi JTS.

Selain daripada pengiktirafan PSIA, MTE 2022 juga menjadi platform untuk para inventors dan innovators daripada seluruh dunia untuk berkumpul dan merebut pengiktirafan yang dianugerahkan semasa expo ini berlangsung.

Expo ini juga mengetengahkan beberapa bidang lain yang mampu memberikan pengetahuan berkaitan dengan pembangunan digital. Di antara bidang-bidang tersebut adalah audio visual, optic and computer generated imagery (CGI), bangunan, electronik, pendidikan teknologi, ICT, keselamatan, telekomunikasi, penyiaran, perlindungan alam sekitar dan lain-lain lagi. — DayakDaily