Pemuda disyaki terlibat aktiviti edar, salahguna dadah ditahan

Suspek (duduk, tengah) ditahan anggota polis.

Oleh Brad Rantayy

MARUDI, 25 Feb: Polis di sini awal pagi tadi menahan seorang lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Marudi sekitar jam 3 pagi tadi di Jalan Tapang Long Lama.


Menurut Ketua Polis Daerah Marudi, DSP Mohd Ruslan Mat Kib, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan Toyota Hilux milik suspek, pihak polis telah menemui dan merampas barang kes berupa satu paket plastik lutsinar besar yang mengandungi 16 paket plastik lutsinar kecil, masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dan satu paket plastik lutsinar besar, mengandungi 24 keratan tiub straw pelbagai warna, masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Anggaran berat kasar keseluruhan barang kes dadah yang dirampas adalah 17.11 gram Methamphetamine dengan anggaran nilai rampasan RM1,700,” ujarnya.

Dadah dirampas susulan penahanan suspek awal pagi tadi.

Kenderaan tersebut juga telah dirampas dan dijadikan barang kes sementara siasatan dijalankan.

Kes disiasat di bawah seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Saspek juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya setelah menjalani ujian sariangan awal air kencing dan didapati positif dadah.

Saspek akan direman untuk membantu siasatan polis. — DayakDaily