Pemuda disyaki guna parang lakukan jenayah khianat ditahan polis untuk siasatan lanjut

Suspek ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 29 Jan: Padah menetak bahagian depan sebuah kereta menggunakan sebilah parang berukuran 44 sentimeter pada Khamis, polis menahan seorang lelaki untuk siasatan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek berusia 31 tahun itu ditahan awal pagi Jumaat sekitar jam 9, oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)Miri susulan menerima laporan daripada mangsa.


Semasa tangkapan, polis turut menemukan sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian.

Dalam kejadian pada petang Khamis itu, pengadu, seorang lelaki berusia 61 tahun telah bertindak mengekori kereta yang dipandu suspek sebaik sahaja terlihat kawan wanitanya memasuki kenderaan tersebut.

Walaubagaimanapun, sebaik sahaja menghampiri kawasan perumahan Senadin, suspek yang menyedari keretanya diekori dari belakang telah bertindak memberhentikan kenderaan secara mengejut lalu keluar membawa sebilah parang menuju ke arah pengadu sebelum bertindak menetak bahagian hadapan keretanya.

Bimbang akan keselamatan dirinya, pengadu bertindak memecut kereta dan membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksuen 427 Kanun Keseksaan. — DayakDaily