Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob

KUCHING, 7 Julai: Dato Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan, pelantikan itu membantu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan pentadbiran negara.

“Ini juga membantu memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini,” katanya.


PMO turut mengumumkan bahawa Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein pula telah dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

Sebagai Menteri Kanan, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Ismail.

Di samping itu, Muhyiddin bersetuju supaya Hishammuddin membantu dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

Kedua-dua pelantikan ini telah disembah maklum kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa serta-merta.

“Adalah diharapkan pelantikan ini akan meningkatkan lagi keupayaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19, memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan dan memperkukuhkan Kerajaaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti,” kata PMO. — DayakDaily