Peminjam PTPTN wajib kemaskini maklumat sehingga Julai 25 ini

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) logo

KUCHING, Julai 17: Semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di negara ini termasuk di Sarawak perlu mengemukakan maklumat pendapatan masing-masing sehingga Julai 25 depan.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, para peminjam harus mengemaskini data sebelum penangguhan bayaran balik untuk peminjam berpendapatan bawah RM4,000 dilaksanakan.

Tegas beliau, semua peminjam yang masih membuat bayaran balik dan masih mempunyai baki dikehendaki mengemas kini maklumat mereka secara dalam talian menerusi portal rasmi PTPTN.


“Ingin saya tegaskan, jika mana-mana peminjam gagal mengemaskini maklumat dalam tempoh ditetapkan kita akan
menganggap peminjam berkenaan tidak berhasrat memohon penangguhan bayaran balik PTPTN.

“Selain maklumat pendapatan, peminjam juga perlu mengemaskini maklumat penting seperti alamat, nombor telefon dan e-mel,” katanya dalam satu kenyataan media.

Wan Saiful menambah, pihaknya turut berharap agensi seperti Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat membantu dari segi perkongsian data bagi bmemudahkan proses itu.

Ini kerana ujarnya, PTPTN berdepan kekangan untuk mendapatkan data peminjam berikutan semua maklumat dilindungi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Justeru, kita berharap agensi berkaitan dapat membantu PTPTN dan peminjam itu sendiri bagi mengemaskini maklumat mereka,” tambahnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan, seramai 429,945 orang peminjam telah dikeluarkan daripada senarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia setakat Jun lalu.

Itu ujarnya, selaras dengan manifesto pilihan raya umum kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memutihkan peminjam PTPTN yang disenarai hitam. — DayakDaily