Pemimpin Sarawak dan Sabah diberi mandat penuh tuntut hak dalam MA63 — PKR Sarawak

Senator Abun Sui Anyit

KUCHING, 16 Mei: Pemimpin-pemimpin politik dari Sabah dan Sarawak telah diberi mandat penuh untuk menuntut segala hak di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Senator Abun Sui Anyit, perkara berkaitan tuntutan tersebut diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Fadillah Yusof.

“Rakyat Sabah dan Sarawak sewajarnya patut merasa lega apabila Perjanjian MA63 sedang diselesaikan oleh Kerajaan Perpaduan.


“Walaupun sangat lambat sejak tahun 1963, kelewatan ini adalah kerana kelalaian kepimpinan utama negara sebelum Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Ahad lepas (14 Mei), tambah Abun, Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan MA63 akan diselesaikan segera.

Beliau berkata, Fadillah sudah diberi mandat sepenuhnya melaksanakan apa saja agenda terkandung dalam MA63.

Katanya, Anwar tidak mahu ada yang mempersoalkan MA63 kerana ia perlu diselesaikan “once and for all”.

“Ini juga bermakna kita sebagai penduduk Sabah dan Sarawak tidak lagi boleh menuding jari kepada Anwar tentang ketidakpuasan berkaitan MA63 lagi selepas ini,” ujar Abun. — DayakDaily