Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan bawa Malaysia ke arah baharu — PKR Batang Lupar

Abang Zulkifli Abang Engkeh

KUCHING, 15 Mei: Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan semalam telah mengungkap sejarah baharu, kata Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batang Lupar Abang Zulkifli Abang Engkeh.

Menurut beliau, ia adalah kebangkitan semangat baru untuk membangun Malaysia ke arah yang lebih maju dalam kerangka lanskap politik baru dengan pelbagai parti yang dulunya lawan kini menjadi kawan.

“Tekat untuk mengetepikan ego masing masing tergambar dengan jelas melalui kejayaan berhimpun dalam majlis yang besar ini. Semangat begini harus didokong dan dipuji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Abang Zulkifli, pemimpin-pemimpin telah melahirkan komitmen tinggi mereka memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersama membangunkan negara yang hampir lumpuh angkara tergelincir dalam kancah politik kuasa.

Katanya, Konvensyen yang dihadiri oleh 17 buah parti itu telah secara langsung menunjukkan bahawa politik negara terletak padah landasan yang tepat.

“Ucapan Perdana Menteri yang mengulangi komitmen untuk menyelesaikan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah menampakkan kesan walaupun usia kerajaan Perpaduan ini baru enam bulan.

“Ungkapan dari ucapan Primer Sarawak dan Ketua Menteri Sabah sangat cemerlang.

“Intipati ucapan mereka berdua, tidak lain tidak bukan adalah untuk kepentingan negeri Sarawak dan Sabah.

“Saranan Premier supaya memberi perhatian pembangunan di kawasan yang bersempadan dengan negara jiran harus diberi perhatian wajar dan segera,” kata Abang Zulkifli. — DayakDaily