Oleh Brad Rantayy
MIRI, 14 Feb: Padah gagal mempamerkan tanda harga pada barangan makanan dalam tin, seorang pemilik premis di sini dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM250 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP cawagan Miri Joe Azmi Jamil berkata pemeriksaan dilakukan semasa pemantauan pematuhan garis panduan Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat (PKPB) dan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina (TBC) 2021 pada Sabtu lepas.
Pemeriksaan bermula sekitar jam 11 pagi dilakukan sekitar Bandaraya Miri.
Hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut didapati tiada tanda harga diletakan pada bahagian makanan dalam tin berkenaan.
“Kompoun dikenakan serta merta kepada pemilik premis,” ujar Joe Azmi.
Beliau turut menasihati pemilik premis makanan dan minuman di daerah ini agar tidak menaikan harga sesuka hati semasa perayaan TBC.
Joe Azmi menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. — DayakDaily