Pemilik guna aplikasi Find My iPhone menjejak suspek curi telefon pintar

Arrest - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 26 April: Seorang lelaki warga tempatan terkedu apabila ditahan pihak polis kurang 30 minit selepas disyaki melarikan sebuah iPhone 11 Pro Max bernilai RM3,000 semalam.

Penahanan suspek berusia 21 tahun itu dibuat pemilik iPhone tersebut yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis selepas berjaya mengesan keberadaan suspek melalui aplikasi ‘Find My iPhone’.


Menurut sumber, semasa kejadian, pemilik iPhone yang juga seorang tukang masak di sebuah gerai makanan di Miri Times Square sedang sibuk memasak di bahagian belakang ketika suspek tiba-tiba datang lalu mengambil telefon bimbit berkenaan yang diletakkan di atas sebuah meja.

Kejadian turut berjaya dirakam CCTV kedai tersebut.

Sejurus kejadian, pemilik telefon bimbit segera mengunakan aplikasi tersebut untuk mengesan suspek yang kebetulan berada tidak jauh dari lokasi kejadian.

Mangsa dengan segera memaklumkan kepada pihak polis untuk bantuan.

Hasil siasatan mendapati, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. — DayakDaily