Pembelaan kuda dicadangkan untuk menambah daya tarikan pelancong di pekan Siniawan

Seekor kuda yang dipinjam sementara dari tempat lain bagi menambah tarikan pekan Siniawan yang dikunjungi ramai peminat muzik 'country western' dan berpakaian ala koboi ketika Pesta Warisan Siniawan tahun lepas.

KUCHING, Jan 14: Kerajaan negeri mencadangkan kepada wakil rakyat di Bau supaya membekalkan kuda bagi dibela di pekan Siniawan supaya menjadikan tempat itu lebih menarik kepada pengunjung dan pelancong asing yang meminati muzik ‘country western’ dan gemar berpakaian ala koboi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mencadangkan demikian setelah melawat ke pekan lama terbabit baru-baru ini yang terletak tidak jauh dari pinggir bandaraya ini bersama dengan wakil rakyat kawasan itu.

“Kita mahu pelancong asing yang datang ke bandaraya Kuching boleh dibawa ke Pekan Siniawan, jadi saya memberitahu mereka (wakil rakyat di Bau) supaya membela kuda (di Pekan Siniawan), kerana tidak lengkap pekan itu hanya ada orang berpakaian ala koboi tetapi tiada kuda,” katanya ketika ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali Cawangan PBB Zon 3 (N.18 Serembu, N.19 Mambong, N.20 Tarat, N.21 Tebedu, N.22 Kedup dan N.23 Bukit Semuja Ibupejabat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Jalan Kumpang, di sini, semalam.


Pekan Siniawan yang dikunjungi ramai pengunjung dan pelancong yang peminat muzik ‘country western’ dan berpakaian ala koboi.

Abang Johari berkata ini kerana pekan lama tersebut kini semakin terkenal sebagai pekan bagi peminat muzik ‘country western’ dan mereka yang gemar berpakaian ala koboi sehingga setiap hujung minggu pekan tersebut akan sentiasa penuh dengan pengunjung dan pelancong.

“Dahulu tiada orang mahu berkunjung ke sana; kini setiap minggu pekan lama terbabit akan penuh dengan ramai pengunjung dan pelancong datang ke pekan Siniawan, ini selepas wakil rakyat disana menjadikannya tempat bagi peminat muzik ‘country western’ dengan kreativiti mereka,” katanya.

Beliau berkata ini ditambah dengan kecantikan struktur bangunan kayu lama kedai pekan terbabit yang sudah berusia lebih 100 tahun yang dibina ketika era pemerintahan Rajah James Brooke dan yang juga menarik kepada kalangan pelancong asing.

Disamping ke pekan Siniawan, beliau juga melihat potensi besar enam kawasan taman negara di sekitar Bau, Lundu dan Sematan dijadikan sebagai tempat kunjungan pelancongan terutama yang terletak tidak jauh dari bandaraya ini dan ada taman terbabit boleh dilawati mereka selepas hanya selama 30 minit perjalanan melalui jalan raya. — DayakDaily