Gua Batu Kudi dipromosi sebagai kawasan pelancongan baharu

Nancy (baju merah jambu) merakamkan gambar bersama rombongan di luar Gua Batu Kudi.

SIMUNJAN, Jan 14: Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato’ Sri Nancy Shukri hari ini meninjau kawasan Gua Batu Kudi di Ulu Simunjan yang memiliki keunikan dan keistimewaan tersendiri.

Nancy bersama-sama penduduk kampung Selamalatong dan Persekutuan Pertubuhan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Simunjan meluangkan masa kira-kira dua jam di situ.

Perjalanan masuk ke kawaasan Gua Batu Kudi melalui jalan kelapa sawit.

Menurut Nancy, beliau akan menulis surat kepada kerajaan untuk membangunkan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan.

Katanya, usaha tersebut dapat membantu penduduk sekitar untuk menambah pendapatan dan ekonomi.


“Saya juga membawa rakan-rakan kita dari PPWS agar mereka dapat memikirkan cara untuk membantu penduduk wanita di kawasan ini.

“Sebab itulah saya meminta penduduk setempat untuk belajar dari mereka yang pandai membuat makanan tradisional yang unik dan mengajarnya semula kepada penduduk kampung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nancy (tengah) melakukan lawatan di Gua Batu Kudi.

Hadir sama mengikut jelajah itu ialah Ahli Majlis Daerah Simunjan, Kaunselor Margaret Mamut dan Temenggung bagi Bahagian Samarahan, Anthony Nyipa.

Nancy memberitahu, Gua Batu Kudi menurut penduduk di kawasan berkenaan mempunyai sejarah dan mitos tersendiri.

Jelasnya, gua yang dikenali sejak lebih seratus tahun itu dikatakan pada asalnya adalah perkampungan rumah panjang.

“Namun terkena sumpahan dan bertukar menjadi batu,” katanya lagi. — DayakDaily