Pembangunan jalan tani jadi tumpuan DUN Tebedu

Manyin (tiga dari kiri) dan Simon (tiga dari kanan) di upacara Perasmian Naik Taraf Awah Gawai Tun Abdul Razak (TAR) di Kampung Pichin. Foto: Ukas

KUCHING, 24 Julai: Pembinaan jalan tani akan ditumpukan sebagai agenda pembangunan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Adunnya Dr Simon Sinang Bada berkata ia adalah untuk memastikan tanah-tanah terbiar di kawasan sekitar dapat diusahakan sama ada secara individu ataupun berkelompok dengan tanaman komersil.

“Ia merupakan tanggungjawab yang akan saya pikul sebagai wakil rakyat di sini dalam memastikan sektor pertanian dibangunkan lagi.


“Ini sekaligus meningkatkan pendapatan penduduk kampung,” katanya pada Majlis Perasmian Naik Taraf Awah Gawai Tun Abdul Razak (TAR) di Kampung Pichin, Serian pada Sabtu (23 Julai).

Pada majlis tersebut, Simon bersama dengan Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Pendidikan), Datuk Amar Michael Manyin Jawong telah merasmikan kerja-kerja naik taraf Awah Gawai Kampung Pichin.

Kerja telah siap sepenuhnya pada Ogos 2021 dengan kos keseluruhan sebanyak RM2 juta.

Sementara itu, Simon turut meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pichin serta permohonan untuk kerja pembaikan Waterfront Awah Gawai yang dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2023. — DayakDaily