Pemasangan kabel elektrik bawah tanah ke Asajaya dijangka siap Jun 2023

Julaihi ketika lawatan ke pencawang Asajaya 33/11kV. Foto: UKAS

KUCHING, 12 Feb: Kerja pemasangan kabel elektrik bawah tanah di kawasan sekitar Asajaya dijangka siap pada Jun 2023, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), dengan siapnya pemasangan itu nanti kualiti bekalan elektrik ke kawasan Asajaya akan bertambah baik.

Katanya, pembinaan stesen pencawang Asajaya 33/11 kv menelan belanja RM15 juta juga adalah bagi memenuhi pertambahan beban di kawasan Asajaya, Beliong, Sadong Jaya dan kawasan sekitarnya.


“Buat masa ini, pencawang Asajaya 33/11kv bersambung dengan pencawang Kota Samarahan B dan akan disambungkan ke pencawang MID 33/11kv melalui talian kabel bawah tanah

“Tidak seperti talian atas, talian kabel bawah tanah mempunyai keboleharapan lebih tinggi berbanding talian atas,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke pencawang 33/11kv di Asajaya pada Sabtu.

Selain pencawang Asajaya 33/11kv tambah Julaihi, terdapat projek pembangunan lain untuk menambah baik bekalan kuasa ke Sebuyau dan Simunjan bagi memperkukuhkan lagi rangkaian bekalan elektrik di kawasan Selatan. — DayakDaily