Pemandu van maut, motosikal terbabas di bahu jalan

Imej komposit menunjukkan motosikal dan kad pengenalan mangsa kemalangan.

KUCHING, Feb 11: Seorang pemandu van menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Dogan di sini awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa, Valentine Bong Chung Kien, 35, disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini selepas sejam menerima rawatan kecemasan di hospital berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke arah Batu Kawa.


Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, motosikal yang ditunggangnya dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan.

“Kejadian tersebut mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada kepalanya.

“Orang awam yang kebetulan melalui jalan berkenaan kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan tersebut.

Katanya, mayat mangsa sudah dituntut oleh ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily