Pemandu Proton Savvy maut, dua cedera parah dalam nahas dua kenderaan

Kelihatan keadaan kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Simpang Spaoh.
Advertisement

BETONG, Mei 30: Seorang pemandu Proton Savvy maut selepas kereta yang dipandu bertembung dengan Toyota Hilux di Simpang Spaoh di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1.55 petang itu turut mengakibatkan dua orang cedera parah dan dua lagi cedera ringan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong, Tony Morni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.59 petang.

Advertisement

Jelasnya, sejurus menerima maklumat mengenai kemalangan itu, sepasukan sembilan anggota bomba diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati terdapat tiga mangsa berada di dalam Toyota Hilux, seorang cedera parah manakala dua lagi cedera ringan.

“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan iaitu pemandu Proton Savy, manakala seorang penumpangnya cedera parah,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung nahas jalan raya berkenaan.

Katanya, kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Betong menggunakan ambulans hospital untuk mendapat rawatan selanjutnya.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. ā€” DayakDaily

Advertisement