Sambutan Gawai Dayak hambar, 160 penduduk Kampung Tringgus terjejas banjir kilat

Kelihatan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir kilat.

BAU, Mei 31: Sambutan Hari Gawai Dayak yang disambut esok (Jun 1) bagaikan sudah hilang kemeriahannya bagi 160 penduduk Kampung Tringgus di sini apabila kediaman mereka terjejas akibat banjir kilat, malam tadi.

Kejadian itu juga telah mengakibatkan sebanyak 24 buah rumah terjejas akibat dinaiki banjir kilat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Ebby Hirwandy Sarbini berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.46 malam.


Jelasnya, sejurus menerima laporan kejadian tersebut, sepasukan anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi dan pemantauan situasi semasa.

“Sebaik sampai, pasukan bomba mendapati terdapat beberapa rumah penduduk sudah dimasuki air sedalam kira-kira 0.3 meter.

“Ada dalam kalangan penduduk sudah mengemaskan barangan serta dokumen penting untuk diselamatkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ebby menambah, setakat ini sebuah pusat pemindahan sementara telah dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas.

Katanya, setakat pukul 11.30 malam tadi, terdapat 24 buah keluarga yang terjejas.

“Daripada jumlah keluarga itu, seramai 160 mangsa terjejas termasuk 61 lelaki dewasa, 53 wanita dewasa.

“Antara lain, terdapat seramai 30 orang kanak-kanak lelaki serta 16 kanak-kanak perempuan turut terjejas,” ujarnya.

Tambah beliau, buat masa ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku akibat kejadian itu. — DayakDaily