KUCHING, 31 Okt: Sebanyak 22 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Mabuk oleh Bahagian Siasatan dan Penguarkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuching pada malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata sebanyak 83 buah kenderaan dan 33 individu diperiksa sepanjang operasi tersebut yang bermula pada jam 11 malam hingga awal pagi tadi.
Katanya, seorang lelaki turut ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol berlebihan dalam operasi tersebut dijalankan di Jalan Simpang Tiga.
“Hasil pemeriksaan, sebanyak 22 saman atas pelbagai kesalahan lalulintas telah dikeluarkan.
“Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun turut ditahan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 Pindaan 2020 kerana memandu kenderaan dibawah pengaruh alkohol,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda minimum RM10,000 dan maksimum RM30,000 dan penjara tidak lebih dua tahun.
“Pemandu juga akan hilang kelayakan memandu selama dua tahun,” katanya.
Tegas Ahsmon, pihaknya akan sentiasa meneruskan serta mempertingkatkan ‘Op Mabuk’ bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemandu mabuk.
“Ini kerana pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol bukan sahaja merbahaya kepada diri sendiri, tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya. — DayakDaily