Pemandu, kelindan lori tersepit dalam kemalangan di Kota Samarahan

Anggota Bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, 16 Mac: Seorang pemandu lori dengan kelindannya tersepit dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Jalan Kota Samarahan-Asajaya hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 8.35 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan terus dikerahkan ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Setibanya di lokasi, didapati benar telah berlaku kemalangan di jalan menuju ke Kampung Tambey selepas jambatan Batang Samarahan.

“Kemalangan melibatkan dua buah lori dan terdapat dua orang mangsa tersepit iaitu kelindan dan pemandu lori,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya anggota operasi bertindak mengeluarkan mangsa tersepit.

“Seterusnya unit EMRS memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sementara menunggu ketibaan ambulans KKM,” katanya.

Kelindan lori dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans KKM dan pemandu lori menaiki ambulans EMRS Bomba.

Manakala pemandu dan kalindan sebuah lagi lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kerja-kerja pembersihan serpihan kemalangan dijalankan di lokasi sebelum pihak Bomba berangkat balik ke balai,” katanya. — DayakDaily

Advertisement