This Content Is Only For Subscribers
Oleh Chris Bishop
LUNDU, 24 Sept: Seawal jam 8 pagi, Pasar Tamu Lundu yang kebiasaannya menjual buah dan sayuran tempatan kini dibanjiri buah durian.
Tinjauan DayakDaily mendapati penjual-penjual memunggah durian masing-masing untuk dijual.
Menurut peniaga, kebanyakan durian di Pasar Tamu Lundu adalah durian tempatan, iaitu dari kampung-kampung di sekitar Daerah Lundu.
Antara yang ditemui ialah durian dari Kampung Pasir Tengah, Tebako, Gunung Gading, Sebemban dan kampung dari sekitar Sematan.
“Durian pagi ini adalah hasil daripada kebun saya sendiri di Kampung Pasir Tengah.
“Isinya kuning, rasanya enak. Boleh buka dahulu, kalau rosak kita tukar,” kata Linda ketika ditemui.
Menurut beliau, pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad, Pasar Tamu Lundu dikunjungi pelawat dari luar terutamanya dari Kuching.
Katanya, pelawat-pelawat ini memilih untuk membeli buah yang sedap dengan harga berpatutan.
Durian Linda dijual dengan harga RM50 setompok dimana setiap tompok ada 3 hingga 6 dan 10 biji mengikut saiz.
Selain durian, turut dijual di Pasar Tamu Lundu ialah buah rambutan, engkalak, terap, dabai, cempedak dan manggis. — DayakDaily