Pelancong Slovakia antara dua maut dalam kemalangan

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah lori dan Toyota Hilux.

Oleh Dean Adam

LIMBANG, Nov 9: Dua individu termasuk seorang pelancong dari Slovakia maut selepas kenderaan jenis Toyota Hilux yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di KM 9, Jalan Kubong, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.50 pagi itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Annissa Saksriprapa Nantharat Sunan, 27, dan Ivan Jaros, 71.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata nahas itu juga mengakibatkan tiga lagi pelancong warga Slovakia yang masing-masing berusia 61, 62, dan 64 tahun cedera parah.

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan.
Petugas perubatan sedang membantu mangsa yang cedera

Siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, wanita tempatan iaitu Saksriprapa dikatakan sedang membawa keempat-empat pelancong tersebut menaiki Toyota Hilux dari arah pusat bandar ke Jalan Mendamit.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Hilux yang dipandu Saksriprapa dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori Nissan yang kebetulan berada di laluan berkenaan.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan bahagian depan Toyota Hilux tersebut remuk teruk dan menyebabkan pemandu serta penumpang di hadapan tersepit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, mayat kedua-dua mangsa yang tersepit kemudian dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Katanya, mayat mangsa dan tiga lagi yang cedera parah kemudian dihantar ke Hospital Limbang untuk tindakan selanjutnya.

“Pemandu lori yang berusia 27 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis sudah merakamkan keterangan untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily