Pelan strategik Old Kuching Smart Heritage (OKSHe) — Boyan, Gersik dan Sourabaya bakal dilaksanakan

Dr Abdul Rahman (enam dari kiri) melepaskan poster OKSHe-BGS sebagai simbolik merasmikan pelancaran OKSHe-BGS.

KUCHING, Ogos 25: Pelan strategik Old Kuching Smart Heritage (OKSHe) — Boyan, Gersik dan Sourabaya (BGS) sudah dilancarkan dan akan mula dilaksanakan di empat kampung BGS terletak di seberang sungai Tebingan Kuching, Petra Jaya, di sini.

Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata pelan tersebut bagi mengekalkan budaya warisan lama penduduk empat kampung itu iaitu Boyan, Gersik, Sourabaya Ulu dan Sourabaya Hilir dan menjadikan budaya terbabit produk pelancongan.

“Silat semestinya (antara budaya warisan terbabit), ada juga kumpulan hadrah, ada juga gendang Melayu dan mungkin ada tarian lain sebagainya yang kita boleh jadikan produk pelancongan di kampung kita di kawasan BGS ini,” katanya ketika majlis penutupan pertandingan Silat BandarayaKu dan Perasmian Pelancaran OKSHe-BGS anjuran Kejiranan Mesra (KJM) BGS, di Pentas Kesenian Kampung Sourabaya Ulu, di sini, semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah melancarkan pelan strategik OKSHe bagi bandar raya ini hujung tahun lepas bagi mengekalkan warisan lamanya.

Pada April tahun ini, empat kampung tersebut telah dicadangkan dan dimasukkan dalam pelan terbabit serta diluluskan Ketua Menteri. Berikutan itu, Dr Abdul Rahman meminta penduduk empat kampung itu menyokong perlaksanaan OKSHe-BGS yang sudah dilancarkannya semalam.

“Penduduk BGS juga disarankan terlibat secara terus dengan apa dilaksanakan kerajaan (negeri) melalui OKSHe-BGS ini, maknanya kita tidak mengharapkan jabatan atau kementerian mengadakan (acara persembahan OKSHe-BGS) untuk kita, tetapi kita sendiri mengadakannya,” katanya.

Beliau juga mengalakkan penyertaan belia dan golongan muda di empat kampung terbabit dalam pelaksanaan pelan OKSHe-BGS termasuk mengadakan persembahan silat dan kemungkinan akan memberikan insentif kepada semua terlibat.

Selain itu, pentas kesenian juga sudah dibina di Kampung Sourabaya Ulu, Kampung Sourabaya Hilir dan Kampung Gersik bagi membuat persembahan kebudayaan manakala Kampung Boyan melalui ketua kaumnya juga sudah memohon pembinaan pentas.

Sementara itu, sebanyak 13 kumpulan silat telah menyertai pertandingan Silat BandarayaKu dengan Perguruan Silat Makripat menjadi juaranya dan menerima hadiah RM500. Pemenang tempat kedua ialah Persatuan Persilatan Seni Asli Zamrud Kuching (RM300) dan tempat ketiga dimenangi Perguruan Seni Silat Hailam Laut Kuching (RM200). — DayakDaily