Pelaksanaan Projek Jalan Baru Matang lancar — Fazzrudin

Fazzrudin Abdul Rahman

KUCHING, 30 Jan: Projek Jalan Baru Matang sepanjang 4.4km kini sedang giat dilaksanakan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

Dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini, Fazzrudin berkata, kerja-kerja awal seperti pengalihan talian elektrik, pembersihan tapak dan pemasangan lampu solar telah bermula.

“Manakala kerja-kerja yang sedang dijalankan sekarang ialah kerja saliran, pemeriksaan kabel bawah tanah.


“Seterusnya nanti adalah kerja pembinaan jambatan,” katanya sebagai memberi maklum balas kepada komen netizen menerusi Facebook Sarawak Road Update.

Tambah Fazzrudin, pembangunan infrastruktur di kawasan Tupong sentiasa diutamakan dan agensi pelaksana sentiasa digesa melaksanakannya mengikut jadual.

Projek Jalan Baru Matang dengan kos RM67 juta melibatkan kerja menaiktaraf jalan dua lorong kepada empat lorong.

Ia dijangka siap dalam tempoh 18 bulan dengan kontraktor baharu telah dipilih pada November lepas. — DayakDaily