KUCHING, Jan 16: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menangguhkan pelaksanaan kelulusan pemasangan iklan pada badan kenderaan buat sementara waktu dan akan memulakan semula pelaksanaannya pada April 1 depan.
Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh JPJ Putrajaya semalam, pelaksanaan tersebut yang dirancang bermula Januari 1, 2019 sebelum ini ditangguhkan kerana pihak industri dan syarikat memerlukan lebih masa untuk membuat permohonan dan mendapatkan kelulusan pemasangan iklan.
“Antara jenis kenderaan yang layak dipertimbangkan bagi pemasangan iklan adalah kenderaan perdagangan (barangan dan perkhidmatan awam), kenderaan persendirian syarikat dan kenderaan e-hailing.
“Bagi pelaksanaan ini, pemohon perlu mendapat kelulusan daripada Bahagian Kejuruteraan Automotif di pejabat JPJ negeri,” kata JPJ.
JPJ menambah, permohonan itu dilaksanakan supaya setiap kenderaan yang terbabit dalam memasang iklan pada badan kenderaan mematuhi syarat dan peraturan yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
Katanya, bagi memudahkan urusan orang awam, pemohon diingatkan supaya membuat permohonan awal bagi mengelakkan sebarang kekeliruan. — DayakDaily