EFS menunjukkan keprihatinan kerajaan GPS — Peter Minos

Dato Peter Minos (file pic)

KUCHING, Jan 16: Inisiatif memberikan Endowment Fund Sarawak (EFS) sebanyak RM1,000 bagi seorang bayi anak Sarawak yang bermula tahun ini akan memberikan manfaat kepada kerajaan negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Penganalisa politik Datuk Peter Minos berkata inisiatif tersebut menunjukkan yang GPS bukan sahaja melihat kepada masa depan rakyat Sarawak malahan perihatin dengan masa depan mereka.

“Jadi ini satu inisiatif baik kepada rakyat Sarawak dan juga kepada GPS,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran dan Penyampaian EFS di sini hari ini.


Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merasmikan majlis berkenaan dan menyampaikan EFS itu kepada ibu bapa kepada seramai 55 bayi anak Sarawak yang lahir mulai Januari 1 hingga 7 lepas.

EFS merupakan salah satu dari 65 inisiatif Team Abang Jo menerajui kerajaan negeri dan GPS demi rakyat Sarawak selama dua tahun Abang Johari menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Peter berkata EFS sebanyak RM1,000 seorang anak terbabit akan membantu keluarga yang berpendapatan rendah di negeri ini dengan setiap anak mereka yang lahir mulai tahun ini.

“Apabila anak Sarawak terbabit mencecah usia 18 tahun, ‘endowment fund’ itu akan bernilai RM3,000 atau RM4,000. Ini juga adalah masanya bagi anak terbabit memasuki kolej dan universiti dan akan amat perlukan dana terbabit,” katanya.

Peter berkata beliau juga ada dimaklumkan ibubapa berkemampuan juga boleh menambah EFS bagi anak mereka supaya jumlah dana yang diterima anak mereka ketika berusia 18 tahun adalah lebih tinggi.

Datuk Lee Kim Shin

Sementara itu, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin berkata sekiranya Sarawak tahun ini boleh menguruskan ekonominya dengan baik dan pendapatan negeri meningkat, beliau percaya kerajaan negeri akan mewujudkan lebih banyak inisiatif bantuan sama dalam bentuk lain kepada generasi muda anak Sarawak .

Beliau bagaimanapun menafikan EFS terbabit mengunakan hasil cukai jualan 5 peratus yang dikenakan ke atas produk petroleum negeri ini.

“Ini kerana kita bulan ini baru mula mengutip cukai terbabit,” katanya. — DayakDaily