Pelaksanaan dasar pembekuan mulai 2005 punca permohonan Bumiputera Sarawak belum diluluskan

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 24 Mei: Pelaksanaan dasar pembekuan oleh kerajaan mulai tahun 2005 adalah punca beberapa permohonan untuk dikenali sebagai Bumiputera Sarawak belum diluluskan.

Menurut Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, permohonan tersebut dibuat pada tahun 2016 dan hanya dibuka semula oleh kerajaan pada tahun 2018.

“Bagi soalan yang dibangkitkan oleh Adun Bukit Semuja berkaitan dengan Interpretation (Amendment) Ordinance 2022 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri, kerajaan masih dalam proses untuk menentukan kriteria dan mekanisme yang sesuai bagi tujuan ini,” katanya.

Sikie berkata demikian dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan belum mempunyai cadangan untuk menaiktaraf Daerah Daro dan Belaga sebagai sebuah pentadbiran Bahagian yang baharu dan kawasan Tubau sebagai Pusat Pentadbiran Daerah Kecil baharu di Belaga.

Kerajaan, katanya, ambil maklum terhadap syor berkenaan yang dibangkitan Adun Daro Safiee Ahmad dan Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon.

“Setakat ini kerajaan belum mempunyai cadangan untuk menaik taraf kawasan-kawasan tersebut.

“Justeru itu, penyampaian perkhidmatan kerajaan bagi masyarakat di kawasan berkenaan akan terus ditadbir urus oleh pentadbiran Bahagian dan Daerah Kecil sedia ada masing-masing,” ujar Sikie. — DayakDaily