Pelajar Tingkatan Dua mati lemas, jatuh dari Jambatan Darul Hana

Anggota bomba mengangkat mangsa yang ditemui mati lemas.

KUCHING, Mei 14: Malang menimpa seorang pelajar lelaki apabila dia ditemui mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Sarawak di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.25 pagi itu, mangsa yang berusia 14 tahun itu dikatakan terjatuh dari Jambatan Darul Hana di Tebingan Kuching di sini.

Komander Operasi, Mohammad Mirza Dzalmira Miraj berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.29 pagi.

Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan itu, sepasukan 10 anggota bomba dikerahkan ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Anggota bomba yang tiba di lokasi kemudian bertindak melakukan pencarian di permukaan sungai menggunakan bot di sekitar lokasi mangsa dilaporkan jatuh.


‘Sebahagian anggota bomba turut menggunakan ‘grappling iron’ untuk mencari mangsa sebelum menemui pelajar Tingkatan Dua itu pada pukul 10 pagi,” katanya di sini hari ini.

Mohammad Mirza menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke darat untuk tindakan selanjutnya.

Ujarnya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang turut berada di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi. — DayakDaily