Saya kekal setia bersama BN, kata Riot

Datuk Seri Richard Riot Jaem

SERIAN, Mei 14: Beliau sentiasa menyokong dan berdiri teguh di belakang kepimpinan Barisan Nasional (BN) Sarawak, demikian tegas Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Beliau menegaskan, dirinya akan kekal setia dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan BN secara khususnya.

“Kita akan terus berjuang dalam satu pasukan demi untuk masyarakat di Bumi Kenyalang ini.


“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, jadi kita tetap akan berdiri teguh di belakang BN Sarawak yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg,” katanya di Kampung Pichin di sini.

Riot menambah, meskipun beliau tidak lagi menjawat jawatan sebagai menteri, beliau tetap menjadi Ahli Parlimen di blok pembangkang.

Katanya, rakyat di Serian tidak harus risau kerana BN masih memerintah Sarawak dan kekal dengan komitmen membantu rakyat di negeri ini.

“Meskipun kita (BN Sarawak) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14, tetapi kita kalah dalam peperangan di negeri-negeri lain.

“Saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada semua pengundi di Serian kerana memberi sekali lagi kepercayaan kepada saya untuk menjadi Ahli Parlimen Serian,” ujarnya lagi. — DayakDaily