Pelajar berusia 14 tahun hilang, dikhuatiri lemas

Anggota bomba melakukan pemantauan di lokasi kejadian.

KAPIT, Mac 4: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas tergelincir dari tebing Nanga Usun Baleh di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Nick Hillary Harry, 14, dilaporkan tergelincir ketika sedang berada di tebing sungai tersebut.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.29 pagi.

Katanya, sejurus menerima laporan berhubung insiden itu, lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Pencarian awal telah dijalankan, namun mangsa masih gagal dijumpai.

“Operasi pencarian menggunakan kaedah ‘water surface searching’ dijalankan dari lokasi mangsa jatuh ke dalam sungai ke hilir dengan jarak pencarian kira-kira 2 kilometer,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada pukul 6 petang selepas mangsa gagal dikesan.

“Operasi SAR ditangguhkan dan akan disambung pada keesokkan pagi memandangkan cuaca mula gelap serta arus sungai yang deras,” ujarnya lagi. — DayakDaily