Tentera 11RAMD tahan tiga PATI di Kampung Biawak

Anggota tentera 11RAMD menahan tiga PATI di Kampung Biawak.

LUNDU, Mac 4: Pasukan tentera dari Batalion Kesebelas Rejimen Askar Melayu Diraja (11RAMD) berjaya memberkas tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan kebun getah di Kampung Biawak di sini hari ini.

Ketiga-tiga PATI yang berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan kira-kira pukul 10 pagi.

Jurucakap 11RAMD berkata, ketiga-tiga pendatang asing warga Indonesia itu ditahan pada kedudukan 600 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.

Katanya, hasil daripada keazaman dan integriti tehadap tanggungjawab dalam memastikan keselamatan persempadanan terjamin, pasukan terbabit telah berjaya menahan ketiga-tiga warga Indonesia itu.

“Ketiga-tiga PATI terbabit telah ditahan di atas kesalahan menggunakan laluan yang tidak dibenarkan.


“Siasatan awal mendapati PATI terbabit keluar untuk pulang ke kampung halaman di Probolinggo, Kalimantan Barat, Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah jurucakap sama, siasatan lanjut mendapati mereka bekerja di sebuah kilang ayam di Batu Kawah, Kuching.

“Ketiga-tiga PATI itu dtelah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu dan diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya lagi. — DayakDaily