Pelaburan tambahan tingkat keupayaan kemudahan, kapasiti pengeluaran Western Digital di S’wk, P Pinang

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Oleh Cornelius Kadir Edison

PUTRAJAYA, 5 Nov: Syarikat pengeluar peralatan storan digital Western Digital mengambil keputusan untuk menambah pelaburan sebanyak RM2.3 bilion bagi meningkatkan kemudahan dan kapasiti pengeluaran syarikat itu di Malaysia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut dipersetujui semasa pertemuan beliau dengan Pengerusi Kumpulan Operasi Western Digital Malaysia, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid, di sini hari ini.


Pengerusi Kumpulan Operasi Western Digital Malaysia, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid

Katanya, keputusan tersebut menjadikan nilai keseluruhan pelaburan syarikat itu di negara ini kini berjumlah hampir RM18 bilion.

“Pelaburan baharu itu akan diperuntukkan untuk memperluaskan fasiliti dan kapasiti kilang di Western Digital Media Pulau Pinang dan Western Digital Sarawak.

“Nilai eksport syarikat itu dari Malaysia adalah berjumlah RM18 bilion pada 2019,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, pelaburan tambahan tersebut secara tidak langsung akan memberi manfaat ekonomi kepada negara selain membuka peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 penduduk tempatan di kedua negeri terlibat.

Katanya pelaburan tambahan oleh Western Digital itu jelas membuktikan keupayaan kerajaan dalam mengurus ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pentadbiran dan kestabilan negara ketika dunia masih berdepan dengan gelombang ketiga pandemik COVID-19.

“Kerajaan melalui Kementarian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan agensi-agensi berkaitan yang lain sentiasa komited dalam menarik pelaburan dan meyakinkan pelabur untuk melabur atau membuat pelaburan tambahan di Malaysia.

“Komitmen Kumpulan Western Digital ini mencerminkan keyakinan tinggi pelabur dari luar negara kepada Kerajaan untuk terus mengembangkan pelaburan dan operasi mereka di Malaysia,” ujarnya. – DayakDaily