Pekerja warga Indonesia dijumpai mati di kuaters ladang sawit

Harvested oil palm fruits. — file pic
Advertisement

MIRI, 13 Ogos: Dua hari selepas menyatakan hasrat ingin pulang ke kampung halamannya di Lombok, Indonesia, seorang lelaki ditemui mati di kuaters pekerja sebuah ladang sawit di Sungai Uban, Bekenu, semalam (Rabu, 12 Ogos).

Ia difahamkan bahawa pekerja terbabit,  berkelakuan pelik sejak beberapa hari lalu, termasuk resah dan memencilkan dirinya sebelum ditemui mati kira-kira jam 5.30 petang Rabu.

“Si mati ada menyatakan yang dia mempunyai masalah dengan isterinya kepada anak saudaranya yang juga bekerja di ladang yang sama,” jelas Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah.

Advertisement

Beliau berkata, hasil siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Pemeriksaan pada badan si mati mendapati tidak ada kesan unsur jenayah pada badan si mati,” tambah Lim.

“Berdasarkan keterangan anak saudara si mati dan rakan sekerjanya, mangsa mengalami kemurungan sejak beberapa hari lalu,” ujarnya.

Lim berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Bekenu dan pihak klinik Bekenu dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus dimaklumkan mengenai penemuan mayat pekerja berkenaan.

“Mayat pekerja terbabit ditemui staff pentadbiran ladang sekitar jam 5.30 petang Rabu.”

Mayat dibawa ke Hospital Miri untuk proses bedah siasat.—DayakDaily

Advertisement