Pekerja pelantar minyak kerugian RM226K ditipu Macau Scam

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 7 Julai: Seorang pekerja pelantar minyak kerugian RM226,450 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan Pos Laju dua minggu yang lepas.

Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berusia 62 tahun itu dikatakan telah menerima panggilan daripada dua lelaki yang tidak kenali mendakwa terdapat satu bungkusan mengandungi kad kredit, kad pengenalan dan gambar milik pengadu bagi tujuan menipu telah ditahan di Pos Laju Kuala Lumpur.


“Pada awalnya, mangsa telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa bekerja di Pos Laju Kuala Lumpur sebelum mangsa menerima satu lagi panggilan dari seorang lelaki mendakwa dirinya pegawai polis,” ujar Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah.

Suspek mengatakan bahawa bungkusan tersebut telah dihantar dari Kota Kinabalu ke Kuantan, Pahang, namun telah ditahan pihak polis untuk siasatan.

Lim berkata, untuk menyelesaikan masalah tersebut, suspek yang menyamar sebagai ‘Sarjan Yap’, telah meminta mangsa memasukkan wang sebanyak RM 226,450.

Jumlah tersebut telah dimasukkan ke dalam enam akaun bank berbeza.

“Mangsa telah memasukkan wang berkenaan melalui pindahan dari meain ATM Hong Leong bank, RHB Bank, Maybank dan Bank Rakyat, ” kata Lim.

Menurutnya, mangsa telah mengeluarkan hampir kesemua simpanannya dari akaun kumpulan wang simpanan pekerjanya untuk pembayaran tersebut bagi mengelakkan tangkapan.

Menyedari dirinya telah ditipu, pada 5 Julai (Ahad) telah tampil membuat satu laporan polis.

ACP Lim berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana mejipu dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan suspek.—DayakDaily