Oleh Dean Adam
KUCHING, Julai 2: Malang menimpa seorang pekerja kilang besi apabila dia terkorban dalam nahas jalan raya di Jalan Keruing menghala ke Jalan Bako di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi itu, mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Scham Nyambong, berusia 30 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan menuju ke arah Demak Laut dari pusat bandar raya ini.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha yang ditunggang mangsa dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu di bahu jalan berkenaan.
“Kesan kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya di sini hari ini.
Alexson menambah, tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan tersebut.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.
“Kes ini disiasat mengikut dlSeksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily