Pekerja kapal maut dirempuh Mitsubishi Triton

Keadaan mangsa yang parah selepas kemalangan.
Advertisement

LIMBANG, Mac 14: Seorang pekerja kapal di Brunei Darussalam maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM11 Jalan Pandaruan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Mohd Zulkarnain Katok, 29, dari Kampung Sayung di sini disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego sedang dalam perjalanan dari arah bandar Limbang ke Pandaruan di sini.

Advertisement

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.

“Kesan perlanggaran kuat itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah.

“Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun pula terbabas di bahu jalan,manakala pemandu itu juga mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pihak polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu Mitsubishi Triton tersebut bagi tindakan lanjut.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Limbang untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. ā€” DayakDaily

Advertisement