iM Sarawak komited tingkatkan pembangunan sosial komuniti luar bandar

Juma'ani (duduk tengah) dan Irwan (berdiri tengah) bermesra dengan murid prasekolah di Tabika Kemas Muda Hashim di Kuching.

KUCHING, Mac 14: iM Sarawak terus komited dalam meningkatkan pembangunan sosial komuniti di kawasan luar bandar di negeri ini.

Malah, setakat ini, iM Sarawak telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan berbentuk kemasyarakatan di 1,500 lokasi di seluruh negeri ini sejak 2013.

Projek kemasyarakatan khusus kepada penduduk luar bandar itu merangkumi program untuk sekolah, bekalan air, sukan, belia dan hidro elektrik.


Anggota Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak (1MSAC) Ir. Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbi berkata, kebanyakan projek yang berkaitan dengan keperluan masyarakat setempat itu dilaksanakan secara bergotong-royong.

Jelasnya, projek yang dijalankan dalam kalangan penduduk setempat itu sekali gus mengukuhkan lagi ikatan kemasyarakatan di samping meningkatkan pembangunan sosial komuniti.

“iM Sarawak komited untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk Sarawak terutamanya penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Kita yakin inisiatif pembangunan sosial yang diterajui 1MSAC ini mampu meningkatkan kualiti hidup pelbagai komuniti di seluruh Sarawak, selaras dengan prinsip 1Malaysia,” katanya semasa majlis penyampaian Bantuan Khas iM Sarawak kepada Tabika Kemas Muda Hashim, di sini hari ini.

Majlis penyampaian itu telah disempurnakan oleh isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Irwan menambah, pihaknya juga selalu turun padang bertemu dengan pemimpin akar umbi di negeri ini.

Katanya, usaha seumpamanya penting untuk mendapatkan pandangan dan cadangan tentang program yang sesuai dilaksanakan di kawasan mereka.

“Di Satok misalnya, kita telah melaksanakan Karnival Sukan pada 2016, selain program pemberian bantuan khas kepada Tabika Kemas yang dipilih,” ujarnya. — DayakDaily