2 suspek curi komponen kenderaan ditangkap selepas aksi kejar mengejar 15 minit

Kedua-dua suspek berjaya ditahan selepas 15 minit adegan kejar mengejar.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 19 Ogos: Seorang wanita antara dua suspek disyaki terlibat dalam kegiatan curi tayar dan rim beberapa kenderaan di sini berjaya diberkas polis ekoran satu adegan kejar-mengejar di antara kenderaan polis dan suspek di Taman Tunku lewat petang semalam (18 Ogos).

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, suspek berusia antara 32 dan 33 tahun itu berjaya diberkas dalam satu operasi dinamakan Ops Lejang pada Khamis selepas 15 minit aksi kejar-mengejar.

“Sebuah kenderaan polis dan pili bomba berdekatan kawasan tersebut dilaporkan dilanggar oleh kenderaan dipandu suspek dalam cubaan melarikan diri,” ujarnya ketika dihubungi.

Semasa pemeriksaan lanjut, pihak polis turut menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan mencuri tayar dan rim kenderaan.

Dalam pada itu, Alexson turut mengesahkan ada menerima tiga laporan kecurian rim dan tayar di sekitar bandaraya ini.

Difahamkan, sebelum kejadian kejar mengejar tersebut, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah melakukan rondaan untuk mengesan suspek di sekitar Taman Tunku berhubung kes curi tayar dan rim kenderaan.

Semasa rondaan, sekitar jam 5.30 petang, anggota JSJ Miri telah terserempak dengan kereta suspek.

Anggota JSJ telah mendekati kenderaan suspek dan mengarahkannya untik berhenti namun tidak diendahkan, malah suspem bertindak memecut dan cuba melanggar anggota polis.

Kedua-dua suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri komponen kenderaan. ā€” DayakDaily