Pekedai dikompaun RM10,000 kerana membenarkan pekerja belum lengkap vaksin bekerja

Premis yang dikompaun.

KUCHING,18 Okt: Sebuah premis dikompaun RM10,000 kerana membenarkan dua pekerjanya yang belum lengkap vaksin turun bekerja.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kesalahan tersebut dikesan oleh anggotanya yang menjalankan Operasi Pematuhan SOP di sekitar bandaraya ini semalam.

“Sebuah premis telah dikompaun RM10,000 kerana membenarkan dua pekerja lelaki yang belum lengkap vaksinasi bekerja di premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, sebuah lagi premis turut mendapat nasib yang sama iaitu dikompaun RM10,000 kerana gagal mengemaskini buku daftar pelanggan dan tidak mengaktifkan alat pengimbas suhu.

Kedua-dua premis yang dikompaun terletak di Jalan Upland dan Jalan Sultan Tengah.

Jelas Ahsmon, kompuan dikeluarkan atas kesalahan di bawah Peraturan 17(2) PPPPB (LLDKTJ) (PPN) 2021.

“Polis mengingatkan masyarakat agar terus mematuhi SOP demi kebaikan bersama,” katanya. — DayakDaily