PKR Sarawak sokong SOP pelaksanaan projek yang ditetapkan oleh PM Anwar

Senator Abun Sui Anyit

KUCHING, 18 Jan: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menyokong prosedur operasi ‘standard’ (SOP) bagi pelaksanaan projek yang ditetapkan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi PKR Sarawak Abun Sui Anyit, SOP yang ditetapkan sangat penting bagi memastikan projek tersebut yang dilaksanakan sampai kepada sasaran.

Katanya, ia juga akan memastikan projek mencapai kualiti yang ditetapkan.


“Kaedah ini juga diharap dapat mengurangkan ketirisan dalam pelaksanaan projek kerajaan untuk rakyat.

“Kita tidak mahu, sebagai contoh, projek jambatan di kampung akan berakhir menjadi titi dan jalan Gred C berakhir jadi jalan kelikir sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Abun lagi, kakitangan kerajaan yang terlibat dan kontraktor yang diberi amanah oleh kerajaan harus melaksanakan projek dengan penuh amanah.

“Kita berharap akhirnya negara Malaysia akan bangkit lagi menjadi negara yang makmur dan disegani atas kerjasama semua pihak,” katanya. — DayakDaily