Pejalan kaki maut, polis kesan kenderaan langgar mangsa

Kelihatan petugas perubatan memeriksa keadaan mangsa yang dilanggar lari.

MIRI, April 29: Seorang pejalan kaki maut selepas dipercayai dirempuh oleh sebuah kenderaan berhampiran Bulatan Telang Usan di Jalan Miri-Airport di sini malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian 11.20 malam itu, identiti lelaki yang meninggal dunia tersebut belum dikenalpasti.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, siasatan di lokasi kemalangan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa.

Katanya, semasa kejadian, mangsa dipercayai cuba melintas jalan di kawasan tersebut sebelum dilanggar oleh sebuah kenderaan lain.

“Mangsa disahkan meninggal dunia tempat di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialaminya.

“Mayat lelaki malang itu kemudian dibawa ke hospital Miri untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pihak polis kini sedang mencari saksi bebas bagi membantu siasatan kes tersebut.

Ujarnya, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu dimohon tampil ke mana-mana balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

“Hebahan juga dibuat kepada semua petugas polis untuk mengesan kenderaan yang terlibat.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily