Tujuh lelaki seludup bawang merah dicekup

Anggota tentera menahan tujuh suspek yang cuba seludup keluar bawang merah.

SERIAN, April 29: Tujuh lelaki warga Indonesia diberkas selepas disyaki menyeludup keluar 27 guni berisi bawang merah menerusi Ops Serkap yang dijalankan di Ladang Tetangga Akrab di sini hari ini.

Kesemua lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan sepasukan anggota tentera dari Batalion ke-13, Rejimen Askar Melayu Diraja (13RAMD) kira-kira pukul 10.30 pagi.

Jurucakap 13RAMD berkata, sebelum tangkapan itu, pasukan tentera yang sedang melakukan operasi rutin telah mengesan pergerakan enam buah motosikal dalam keadaan mencurigakan.


Katanya, anggota tentera kemudian bertindak menahan kesemua suspek sebelum melakukan pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut menemui 27 guni bawang merah seberat 432 kilogram yang dipercayai diseludup ke Kalimantan Barat, Indonesia.

“Mereka juga gagal menunjukkan sebarang dokumen pemerdagangan yang sah sebagai bukti membawa semua guni berisi bawang merah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jurucakap sama menambah, nilai rampasan kesemua barangan itu dianggarkan sebanyak RM3,800.

“Kesemua barangan rampasan serta suspek sudah dibawa ke Balai Polis Serian untuk siasatan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily