Pejalan kaki maut dilanggar lari

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

KUCHING: Seorang lelaki maut apabila dipercayai dilanggar sebuah kereta ketika berjalan kaki di Jalan Kolong Saga, Matang di sini malam Sabtu.
Mangsa ialah Chin Fook Pin berusia 50 tahun dan berasal dari Batu 6 1/2 Jalan Matang, di sini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Sarawak DSP Bingkok John berkata mangsa semasa kejadian berjalan kaki seorang diri menghala ke arah pusat bandaraya iaitu sekitar jam 10.20 malam.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dilanggar sebuah kereta yang belum dikenalpasti.
“Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat yang dijadualkan diadakan pada jam 9 pagi ini.
Siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.