Penunggang motosikal maut dilanggar 4WD

Keadaan motosikal mangsa yang rosak teruk akibat dilanggar.

MIRI: Seorang penunggang motosikal terbunuh apabila dia dilanggar dua buah kenderaan pancuan empat roda (4WD) di Jalan Bypass Miri, di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Bingkok John berkata mangsa ialah Mohd Hasmizul Abdullah berusia 47 tahun dan berasal dari Taman Tunku, di sini.

Menurutnya, semasa kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah apabila tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh sebuah Mitsubishi Triton iaitu sekitar jam 8.15 malam.


“Akibat itu, mangsa telah tercampak dari atas motosikalnya dan kemudian dilanggar lagi sebuah Nissan Navara yang datang dari arah bertentangan menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian,” kata Bingkok.

Tambahnya mangsa telah diperiksa oleh anggota paramedik di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Kes tersebut masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.