Pekerja PBT maut dilanggar pikap

Mangsa diberikan rawatan kecemasan oleh pegawai perubatan sebelum dia disahkan meninggal dunia.

BARIO: Seorang kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbunuh akibat kecederaan parah selepas dirempuh sebuah pikap jenis Toyota Hilux berdekatan Pejabat Pertanian Bario, di sini pagi Ahad.

Mangsa ialah Hanry Jahani berusia 35 tahun dan berasal dari Jalan Lee Foh 9, Krokop Miri.

Difahamkan, mangsa semasa kejadian bersama seorang lagi rakannya baharu keluar dari dalam keretanya untuk mengambil bajunya di tempat duduk penumpang.


“Tiba-tiba sebuah Hilux yang datang dari hadapan dengan laju lalu terus merempuh bahagian hadapan (kiri) kereta mangsa dan kemudian melanggar mangsa.

“Mangsa tercampak dari tempat kejadian dan mengalami kecederaan parah menyebabkan rakannya kemudian terus mengejarkannya ke klinik berdekatan,” kata sumber.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Sarawak DSP Bingkok John semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.15 pagi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Klinik Kesihatan Bario dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Miri untik bedah siasat,” kata Bingkok.

kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.