Pegawai polis dan Rela mengaku bersalah atas tuduhan rasuah

Abdul Wali Fathir Mustapha diiringi pegawai SPRM dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah.

KUCHING, Jan 11: Akibat menerima wang suapan dan membuat tuntuan palsu, dua pegawai masing-masing seorang polis berpangkat Inspektor dan pegawai Rela dijatuhkan hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini.

Dalam kes pertuduhan pegawai Rela, Hakim Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM273,600 atau lapan bulan penjara terhadap tertuduh, Abdul Wali Fathir Mustapha, 30.

Hukuman itu diputuskan selepas Abdul Wali mengaku bersalah atas pertuduhan membuat tuntutan palsu untuk 190 anggota Rela yang didakwanya bertugas bagi tempoh April 1, 2012 hingga April 30, 2012, meskipun sebenarnya mereka tidak bertugas dalam tempoh berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Abdul Wali dituduh membuat tuntutan itu melalui satu set borang pengakuan kehadiran anggota Rela yang bertugas sebagai pelapor peti undi di daerah Serian untuk April 2012 iaitu dari April 1 hingga 30, 2012 dengan jumlah tuntutan sebanyak RM54,720.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Nixon Kennedy menjatuhkan hukuman penjara 20 hari dan denda RM25,000 terhadap seorang pegawai polis iaitu Azrul Izman Shadan, 35,selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan menerima wang suapan sebanyak RM5,000 di RH Hotel, Sibu pada Mac 13, 2015.

Kelihatan Azrul Izman Shadan di Mahkamah Khas Rasuah.

Mengikut kertas pertuduhan, Azrul didakwa menerima wang suapan sebanyak RM5,000 daripada seorang wanita, Amy Yip Su Ling, sebagai dorongan mengembalikan barangan kemas yang dirampas selepas suami wanita itu terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala tertuduh diwakil peguam Fadzillah Osman. — DayakDaily