Abang seret adik OKU untuk selamatkan dari kebakaran

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran.

KUCHING, Jan 11: Kasih sayang seorang abang terhadap adiknya yang merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) tidak dapat disangkalkan apabila dia sanggup meredah api untuk menyelamatkan adik lelakinya dalam satu kejadian kebakaran di Lorong Stapok 20, Taman Sky di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, Jeffrey Kasim, 52, telah berjaya menyelamatkan adiknya, Jamil Kasim, 49, namun adiknya dilaporkan mengalami kecederaan iaitu melecur di bahagian belakangnya.

Menurut sumber, semasa kejadian, Jeffrey yang baru balik kerja dan hendak mandi dikejutkan dengan kejadian kebakaran itu sebelum dia yang hanya memakai tuala berlari ke arah adiknya untuk menyelamatkannya.


Katanya, si abang terpaksa mengheret adiknya keluar menggunakan pintu belakang disebabkan Jamil tidak mempunyai kedua-dua belah kakinya akibat penyakit diabetis yang dialaminya.

“Usaha Jeffrey berjaya apabila dia dan adiknya selamat dalam kebakaran itu meskipun mereka tidak sempat menyelamatkan dokumen serta barangan penting dari rumah berkenaan.

“Buat masa ini, kedua-dua mangsa tinggal sehelai sepinggang dan tinggal sementara waktu bersama saudara mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 10.52 malam.

Jelasnya, sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang kemudian dikerahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Selain itu, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuching turut ke tempat kejadian sebagai pasukan bantuan.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman tersebut sebelum mereka berusaha memadamkan api. Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.50 pagi,” ujarnya. ā€” DayakDaily