PBT Sarawak gandingkan ahli-ahli majlis yang lama dan baharu

Abang Johari (lima kanan) merakamkan kenangan bersama ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan di upacara tersebut.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Julai 31: Gandingan baharu dan lama ahli-ahli majlis akan menentukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyempurnakan tanggungjawab dengan sebaiknya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ahli-ahli majlis yang lama memiliki pengalaman dan yang baharu memiliki idea bersesuaian dengan arus perkembangan terkini.


“Ini adalah satu lagi bentuk transformasi yang kita lakukan di peringkat akar umbi. Kita gandingkan ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan dengan yang lama dan baharu,” katanya di Upacara Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis PBT di sini, hari ini.

Di upacara tersebut, seramai 765 ahli-ahli majlis telah mengangkat sumpah dan lebih 40 peratus adalah muka baharu.

Di majlis yang sama, mereka (ahli-ahli majlis) turut melakukan bacaan ikrar bebas rasuah di hadapan Abang Johari.

Sebagai menghargai sumbangan ahli-ahli majlis, Abang Johari telah mengumumkan elaun tetap bulanan sebanyak RM300 untuk mereka.

Bayaran tersebut sebagai tambahan kepada elaun mesyuarat yang mereka hadiri di pejabat pihak berkuasa tempatan masing-masing.

Disamping itu, Abang Johari menggesa ahli-ahli majlis PBT mengutamakan kepentingan rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Ahli-ahli majlis dilihat sebagai barisan hadapan dan perlu menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan berintegriti tinggi.

“Mereka harus peka kepada keperluan dan kepentingan awam serta bertanggungjawab untuk menyumbang idea dan kepakaran demi meningkatkan mutu perkhidmatan majlis,” katanya.

Turut hadir timbalan-timbalan ketua menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Dr James Masing, serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian. — DayakDaily