PBDS kenal pasti kerusi parlimen yang bakal ditandingi pada PRU15

Sawing Kedit
Advertisement

KUCHING, 9 April: Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) sudah mengenal pasti kerusi parlimen yang akan menjadi pertaruhan pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Naib Presidennya Sawing Kedit berkata, PBDS mempunyai kekuatan tersendiri selain sentiasa memperbaiki kekurangan dan kelemahan yang ada.

“Oleh itu, saya menyarankan semua parti politik pembangkang yang mempunyai hasrat dan tujuan yang sama untuk bekerjasama semasa PRU15 nanti agar duduk berbincang.

Advertisement

“Ini bagi merancang dan membincang perkara-perkara asas dalam kerjasama tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Sawing, PBDS sentiasa terbuka dalam isu kerjasama semua parti pembangkang.

Katanya, parti memiliki ketetapan sendiri jika dipanggil untuk perjumpaan bagi membincangkan kerjasama itu nanti.

“PBDS mempunyai prinsip berpolitik dan tidak seharusnya dipandang rendah oleh parti politik lain yang kononnya mereka lebih berpengalaman dan lebih matang.

“Usaha yang lebih progresif dan komprehensif perlulah dibincang dari semasa ke semasa untuk menentukan hala tuju kerjasama yang utuh dan berkesan.

“Jangan menidakkan kekuatan parti lain jika kita ingin menjalinkan kerjasama untuk menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRU15 nanti,” ujar beliau.

Baru-baru ini Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen mencadangkan bekerjasama dengan parti pembangkang lain di negeri ini untuk menghadapi GPS pada (PRU15) akan datang.

Menurut Chong, DAP Sarawak mempunyai autonomi penuh untuk menentukan parti politik mana di Sarawak untuk bekerjasama dengan pihaknya pada PRU nanti. — DayakDaily

Advertisement